Suatu malam, wajah ibu diselubungi sugul.
Ibu hampiriku, pegang tanganku, dan berkata "I have one big problem. I got in touch with my old flame and I think I still love him, so much".
Aku pandang ibu tepat di wajahnya. Mata terjegil, minda masih cuba mencerna informasi yang baru masuk.
Satu jam selepas itu, ibu luahkan segala isi hatinya kepadaku. Sepanjang waktu itu, tangannya menggenggam tanganku erat, hanya dilepaskan untuk mengesat air mata yang mengalir di pipi.
Oh my god, mom...
Sesungguhnya aku bukanlah orang terbaik untuk kau luahkan segalanya. Maafkan aku, ibu.. Aku ingin sekali menjadi orang yang mengeringkan pipimu dan memimpin tanganmu di sepanjang ordeal yang kau hadapi sekarang ini. Menjadi orang yang mententeramkan kau di sebalik gejolak perasaan yang kau rasai, memelukmu dan memberitahumu yang semuanya akan baik-baik sahaja.
Aku ingin sekali berada di sisimu, menyokong dan memberikan kau segala dokongan yang kau perlukan. Tetapi seketika kemudian aku jadi marah.
Marah pada ibu yang melahirkan aku itu, yang terlalu masih mencintai lelaki lain selain bapaku. Lelaki itu sang cinta pertama, yang terpisah atas arahan kuku besi arwah nenek. Dan bapa, si lelaki yang dinikahi mengikut aturan keluarga.
Ibu, aku faham cintamu terhadap lelaki itu begitu sejati, begitu utuh, begitu kukuh terpahat di dalam hatimu. Walaupun berjuta siang dan malam berlalu sejak 33 tahun lalu, walaupun hampir 3 dekad kau dan ayah membina keluarga ini.
Malam itu, sepanjang malam aku cuba tafsirkan cinta. Semakin aku cuba, semakin aku keliru. Mungkinkah cintaku akan kekal membara walau 30 tahun atau 40 tahun atau 50 tahun berlalu? Jika aku dan si buah hati ditakdirkan berpisah, mungkinkah dia akan kekal mencintaiku?
Dan aku akhirnya buntu dalam menafsirkan cinta.
Biarlah cinta, padaku, kekal sebagai suatu perisian untuk hati yang harus di-upgrade setiap masa, biarlah ia kekal sebagai entiti yang berubah-ubah dan bersifat absolute.